Istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah bukanlah nama sebuah parti politik atau mazhab baharu yang diasaskan oleh ulama. Sebaliknya ia merupakan istilah yang berpunca daripada nas-nas syarak yang banyak. Bagi istilah al-Sunnah, Rasulullah SAW pernah mengungkapkannya dengan makna wahyu yang selain daripada al-Qur’an. Baginda SAW bersabda:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّى قَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ فَلَنْ تَضِلُّوا أَبَدًا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah tinggalkan buat kamu (dua perkara) selagimana kamu berpegang dengannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan sunnah Nabi-Nya.”
Riwayat al-Baihaqi (20123)
Istilah al-Sunnah juga digunakan untuk merujuk kepada perkara yang mempunyai dalil syarak, sama ada daripada al-Qur’an mahupun sunnah Rasulullah SAW dan ijtihad para sahаbat. Antaranya sabda Baginda SAW:
فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ
Maksudnya: “Hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah para Khulafа’ al-Rаshidіn al-Mahdiyyіn.”
Riwayat al-Tirmizi (2676)
Pada ketika yang lain, al-Sunnah diucapkan oleh Rasulullah SAW bagi menyerlahkan maksud lawan kepada bid‘ah yang dilarang. Antaranya hadis yang menegah tiga orang al-sahаbah yang berhasrat untuk bersolat sepanjang malam, berpuasa sepanjang tahun dan menegah diri daripada berkahwin. Baginda SAW lalu bersabda:
أَمَا والله إني لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ له لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عن سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي
Maksudnya: “Adapun demi Allah, sesungguhnya aku orang yang paling takut kepada Allah dalam kalangan kamu, paling bertaqwa dalam kalangan kamu kepada-Nya, namun begitu, aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur dan mengahwini wanita. Maka sesiapa yang membenci sunnahku, ia bukan daripada kalanganku.”
Riwayat al-Bukhari (4776)
Demikian juga hadis Rasulullah SAW mengenai golongan yang menunggu bintang-bintang muncul sebagai waktu berbuka puasa menerusi sabdanya:
لا تَزَالُ أُمَّتِي عَلَى سُنَّتِي مَا لَمْ تَنْتَظِرْ بِفِطْرِهَا النُّجُومَ
Maksudnya: “Umatku sentiasa berpegang dengan sunnahku selagi mana ia tidak menunggu bintang-bintang keluar untuk membuka puasanya.”
Riwayat Ibn Hibban (3510)
Berpandukan dalil-dalil tersebut, jelas menunjukkan perkataan al-Sunnah bukan istilah yang datang kemudian, sebaliknya ia bersumberkan lisan Rasulullah SAW sendiri. Walaupun istilah tersebut tidak terkandung dalam al-Qur’an, namun begitu, terdapat konotasi al-Sunnah yang jelas dalam setiap ayat yang merujuk kepada perintah mengikuti Rasulullah SAW sama ada berbentuk suruhan mahupun larangan. Antaranya, firman Allah SWT:
Reviews
There are no reviews yet.